Selasa, 26 Oktober 2010

Merencana Sakinah Di Sebalik Mehnah

Sabar itu lambang keindahan peribadi,
Amanah itu cermin diri mukmin sejati,
Kasih yang terpancar mengukuh jalinan hati,
Intim hubungan menerbitkan ketenangan sanubari,
Nadi sebuah ikatan yang suci murni,
Aman, damai menjalin harmoni,
Hidup sejahtera menuju daerah abadi...

Sakinah, mawaddah dan rahmah,
Tiga ungkap rasa yang bisa menjana,
Sebuah keluarga yang mewariskan kecemerlangan buat generasinya,
Diserikan oleh tawa ria dan kasih mesra nan utuh,
Dilandasi kejujuran dan ketulusan hati,
Saling memberi dan menerima.

Sakinah itu bahagia, mesra dan tenang,
Sebuah cinta setia hanya kerana NYA,
Manifestasi seorang suami penyayang, amanah dan mulia peribadi,
Jua seorang isteri yang pengasih, setia dan murni sanubari,
Menjadi ayah yang beriman dan boleh diteladani,
Menjadi ibu yang tabah dan memahami,
Mencorak keunggulan sahsiah, melestari kegemilangan generasi.

Namun, kini kita umpama tak tertepis lagi,
Fenomena Keretakan keluarga, krisis rumahtangga di sana sini,
Anak-anak tidak berdosa turut menjadi mangsa ceritera ini,
Lantas mengundang gelora sosial remaja yang menyayat hati,
Wajarkah kita hanya menghitung statistik yang kian menjadi,
Di manakah bahagia yang dicari?

Dalam merencana sakinah,
Sewajarnya cinta murni diletakkan di tempatnya,
Bukan material duniawi semata jadi igauan,
Tetapi keperibadian indah serta pegangan agama jadi ukuran.

Sakinah yang dijejaki,
Pasti bersinar oleh keikhlasan dalam menabur bakti,
Kepada ibu bapa, guru-guru, jiran tetangga,
Kepada bangsa, agama dan negara tercinta,
Menepis mehnah menggenggam amanah.

Taburkan jasa semaikan budi eratkan silaturrahim,
Jauhi dosa himpunlah pahala,
Didiklah anak-anak dengan sempurna,
Jadilah ibu mithali ayah yang bestari,
Agar terbentuk permata bangsa yang berharga,
Anak soleh dan solehah yang mengundang sakinah.

Duhai insan,
Leburkanlah dosa dan kejahilan yang membukit,
Runtuhkanlah maksiat dan gejala sosial yang kian menggunung,
Binalah kecemerlangan berlandaskan lunas-lunas islam,
Mengertilah bahawa keruntuhan institusi kekeluargaan,
Menjadikan realiti wawasan semakin sirna,
Serta menjana keruntuhan sebuah bangsa dan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan